Pengumuman
Berita
[Utusan 04-03-2013] - Kerajaan bantu 22,000 usahawan
MACHANG 3 Mac - Sebanyak RM206 juta telah dikeluarkan oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk membantu 22,000 usahawan bagi meningkatkan taraf perniagaan mereka sejak 1998.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bantuan berupa pinjaman mudah itu telah berjaya membantu usahawan di negeri ini.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM3.2 juta pinjaman dikeluarkan kepada 369 usahawan Kelantan untuk tahun ini bermula Januari lalu.
"TEKUN memainkan peranan yang besar dalam membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan seterusnya mengubah tahap ekonomi keluarga.
"Bukan hanya melibatkan peniaga Melayu, sambutan masyarakat India terhadap pinjaman TEKUN Nasional juga amat baik dan diharapkan berterusan pada masa depan agar taraf hidup keluarga mereka terjamin. Lebih 5,000 peniaga India turut menjadi pelanggan TEKUN," katanya.
Beliau berkata demikian pada Himpunan Komuniti Usahawan TEKUN Negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan Machang 2 di sini semalam.
Yang hadir sama, Penyelaras Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub. Lebih 6,000 usahawan hadir pada program yang diadakan sempena ulang tahun ke-15 TEKUN.
Seramai 14 usahawan turut menerima Anugerah Usahawan TEKUN Cemerlang pada majlis tersebut bagi memberi dorongan, pengiktirafan dan penghargaan kepada usahawan yang berjaya di peringkat domestik dan global.
Pada masa yang sama, TEKUN turut menyumbangkan RM10,000 kepada SK Machang 2 di sini sebagai tanda sokongan kepada pendidikan negara dan penghargaan kepada sekolah itu.
Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, pinjaman tersebut sewajarnya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh orang ramai bagi menambah pendapatan dan mengembangkan perniagaan sedia ada.
"Kerajaan sentiasa gigih berusaha membantu meningkatkan ekonomi masyarakat tanpa mengira golongan terutamanya bagi mengeluarkan rakyat daripada paras kemiskinan.
"TEKUN memberi banyak kelebihan terutamanya kepada peniaga kecil seterusnya meningkatkan ekonomi keluarga sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.
Dasar Privasi Dasar Keselamatan Penafian
Hakcipta Terpelihara 2012 © Pusat Khidmat Kontraktor
Portal Rasmi PKK : pkk.kkr.gov.my
Lihat Halaman Ini Sebagai: Mobile | Portal
