Pengumuman
Berita
[Utusan 05-03-2013] - RM600 juta bantu bumiputera
KUALA LUMPUR 4 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan dana tambahan sebanyak RM600 juta untuk membantu usahawan bumiputera.
Perdana Menteri berkata, RM400 juta daripada dana tambahan itu akan diuruskan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri manakala baki RM200 juta lagi, masing-masing RM100 juta akan diuruskan oleh Mara dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB).
''Untuk peruntukan sebanyak RM400 juta pihak EPU akan menyalurkannya kepada para usahawan bumiputera khusus bagi menjayakan program-program perniagaan yang strategik,'' katanya.
Beliau berucap dalam majlis Perhimpunan Usahawan Bumiputera 2013 di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini.
Kesemua dana tambahan tersebut mula berkuat kuasa hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan Najib berkata, bagi dana tambahan RM100 juta untuk Mara, peruntukan itu adalah untuk meningkatkan pegangan ekuiti usahawan bumiputera dalam sektor pembangunan usahawan korporat Mara.
Peruntukan sebanyak RM100 juta untuk PUNB pula bagi membantu menempatkan para usahawan bumiputera di lokasi-lokasi utama.
''Bukan itu sahaja, malah insentif ini juga adalah untuk membantu para usahawan bumiputera mendapatkan hak membawa jenama antarabangsa terkemuka ke Malaysia.
''Melalui peruntukan ini mereka juga boleh menikmati diskaun untuk penyewaan kiosk di pusat beli-belah terkemuka serta memudahkan pembelian hartanah komersial,'' katanya.
Perdana Menteri turut mengumumkan kenaikan had bagi pinjaman agensi Mara dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional daripada RM50,000 kepada RM100,000.
''Begitu juga dengan had dana pembiayaan Mara akan dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta,'' katanya.
Dasar Privasi Dasar Keselamatan Penafian
Hakcipta Terpelihara 2012 © Pusat Khidmat Kontraktor
Portal Rasmi PKK : pkk.kkr.gov.my
Lihat Halaman Ini Sebagai: Mobile | Portal
